Perkhidmatan psikologi kaunseling bantu tangani gelandangan

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) digesa menyediakan perkhidmatan psikologi kaunseling bagi menangani isu gelandangan di negeri ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana dalam kalangan gelandangan ini ada anak-anak yang hendak membantu mereka tetapi tidak sehaluan.

“Jadi, mereka (gelandangan) lari dan merayau-rayau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kembara KASIH Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) 2024 serta Perasmian Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Bergerak di Tebingan Sungai Kuching, di sini, hari ini. 

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.

Abang Johari menegaskan bahawa psikologi kaunseling merupakan komponen penting dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Oleh itu, sebagai menteri bertanggungjawab, beliau (Nancy) perlu mempunyai banyak pendekatan kaunseling untuk meminimumkan bilangan individu yang dianggap gelandangan ini,” katanya.