KUCHING: Kerajaan Sarawak
menyampaikan insentif keseluruhan berjumlah RM1,834,000 kepada semua atlet Sarawak yang memenangi pingat
Sukan Malaysia XXI Sarawak (SUKMA) Ke-21.
Sarawak muncul juara keseluruhan pada temasya sukan terbabit selepas memenangi 76 pingat emas, 55 perak dan 70 gangsa baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan majlis penyampaian insentif itu semasa Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sarawak SUKMA XXI Sarawak 2024 Ke-21 di Riverside Majestic Hotel, malam tadi.
Dalam ucapanya, beliau menaruh harapan tinggi Sarawak turut merangkul gelaran juara keseluruhan Para SUKMA Ke-21 di sini mulai 22 hingga 28 September ini.
Abang Johari turut mengumumkan insentif atlet Para SUKMA akan menerima jumlah sama seperti atlet SUKMA.
“Kita memberi insentif ini sebagai usaha pembangunan Sarawak untuk para atlet sama ada kelainan upaya mahupun mereka yang berupaya,” katanya.
Abang Johari menambah atlet Sarawak harus diberi pendedahan ke peringkat lebih tinggi agar bakat mereka terus digilap dan mengikut jejak langkah atlet negara seperti Dato Pandelela Rinong Pamg dan Bonnie Bunyau Gustin.
Turut hadir Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
