BINTULU: Sarawak tidak ketinggalan menggunakan pendekatan saintifik dan inovasi dalam memulihara sumber marin, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Majang Renggi.
Beliau berkata, pendekatan itu menggantikan kaedah konvensional yang digunakan terdahulu.
Pemeliharaan ekosistem marin perlu dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh bagi memastikan sumber alam semula jadi kekal lestari serta dapat diwarisi oleh generasi akan datang, katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan Aktiviti Pembersihan Terumbu Karang di bawah Projek Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship (COREEFS) 2023- 2030 anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Bintulu di Pangkalan Jeti Pasukan Polis Marin (PPP) di sini hari ini.
Kejayaan beberapa inisiatif terdahulu seperti Projek BEACON 2017 di Taman Negara Similajau yang berjaya mengeluarkan lebih 150 kilogram sisa marin dari Kompleks Terumbu Karang Patricia dan projek SFC–PETRONAS Eco-Marine 2020 di Taman Negara Terumbu Karang Miri–Sibuti, katanya, memberi kesedaran kepada komuniti mengenai isu pencemaran laut.
Projek COREEFS merupakan salah satu inisiatif berimpak tinggi selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan mampan, ekonomi hijau dan tadbir urus alam sekitar yang berkesan, tambahnya.
Projek itu, tegas beliau, turut melibatkan penggunaan teknologi terkini seperti pemetaan dasar laut, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan pemasangan struktur bebola tukun tiruan, yang berfungsi sebagai habitat baharu kepada spesies marin di kawasan yang terjejas.
