Delegasi Brunei kunjungi Awang Tengah

KUCHING: Lawatan delegasi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Darussalam ke negeri ini memperkukuhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara dalam menerokai kerjasama strategik serantau secara inklusif dan mampan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat delegasi dari negara Brunei itu yang diketuai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Yusof di Wisma Sumber Alam, di sini hari ini.

Memperkukuhkan hubungan dua hala dan peluang kerjasama dalam pembangunan ekonomi dan pelaburan antara Sarawak dan Brunei Darussalam adalah antara tajuk yang dibincangkan pada pertemuan itu.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Abdullah Julaihi, Setiausaha Tetap MINTRED, Dzulkornain Masron dan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood.

Dato Seri Setia Erywan turut diiringi Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Brunei Darussalam, Pengiran Datin Paduka Shazainah Pengiran Dato Paduka Shariffudin, bersama dua pegawai kanan kementerian iaitu Syamin Nabilah Daud dan Dayangku Nor Zaidah Pengiran Shahminan serta Konsul Agung Brunei Darussalam di Sarawak, Sheikh Abdul Mahdani Datuk Paduka Sheikh Abdul Gani.

Dato Seri Setia Erywan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada malam Ahad disambut oleh Sheikh Abdul Mahdani.