Penduduk Sungai Passin bakal nikmati jalan raya

MATU: Hampir 200 pintu penduduk di kawasan Sungai Passin tidak lagi terpinggir menikmati arus pembangunan menerusi pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, antaranya ialah projek pembinaan jalan yang menghubungkan Passin ke Jemoreng dengan kos baharu sebanyak RM77.8 juta.

Katanya, projek ini pada peringkat awal dilaksanakan pada 2020 membabitkan kos projek berjumlah RM40.1 juta.

“Pada ketika itu, dunia dilanda Covid-19 menyebabkan pelaksanaan terbengkalai. Selepas disambung semula, kontraktor yang ditawarkan sebelum ini gagal melaksanakan.

“Berikutan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksanaan telah menamatkan kontrak ini,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu kerajaan tidak lagi menggunakan kaedah secara tender terbuka kepada mana-mana kontrak yang berminat, tetapi hanya dikhususkan kepada kontraktor yang bertaraf kontraktor penyelamat.

“Walaupun kos telah bertambah tetapi kerajaan masih meneruskan projek ini dan secara rasmi diserah kepada kontraktor pada 16 Jun lalu. Hari ini simbolik penyerahan di peringkat tapak.

“Projek ini telah bermula daripada Jemoreng dan sepanjang 19.3 kilometer (km) termasuk ‘spur road’. Tempoh pembinaan jalan ini mengambil masa 30 bulan.

“InsyaAllah, dengan keupayaan dan prestasi cemerlang kontraktor yang ada, saya yakin projek ini dapat kita siapkan dalam tempoh 30 bulan. Peningkatan kos itu mengambil kira tentang kenaikan harga bahan binaan,” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Ngiling Bidai Gawai 2024 di Rumah Henry, Sungai Passin, hari ini.

Katanya, kerajaan telah meneruskan di bawah Skim Elektrik Luar Bandar (RES) dan projek ini dilaksanakan melibatkan kos sebanyak RM6 juta dan sekarang sekitar 63 peratus siap.

“Projek ini dijangka siap November tahun ini. Ini bermakna penantian yang begitu lama untuk menikmati bekalan elektrik 24 jam akan tercapai dalam sedikit masa lagi,” ujarnya sambil memberitahu kawasan Passin mempunyai tujuh rumah panjang, klinik dan sekolah.

Safiee berkata, Kerajaan Sarawak melalui Perbadanan Digital Ekonomi Sarawak (SDEC) dan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) melaksanakan pemasangan menara dan beroperasi sepenuhnya bermula pada April lalu.