Pengisian jawatan guru di Sarawak meningkat

KUCHING: Kerajaan Sarawak membentangkan 15 perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Kerajaan Persekutuan bagi menurunkan kuasa dalam bidang pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ia adalah sebahagian daripada MA63 dalam rangka kerja perenggan 17 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.

“Ketika ini, kementerian saya dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mendokumentasikan perkara yang telah dipersetujui dan menterjemahkannya dalam bentuk pekeliling.

“Kami juga sedang mengkaji secara mendalam sama ada perkara yang dipersetujui ini boleh ditafsirkan kepada peraturan atau sebarang bentuk pindaan kepada statut atau mana-mana statut yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pagi tadi.

Beliau yang juga ADUN Nangka berkata, terdapat peningkatan pesat pengisian jawatan guru di Sarawak.

“Kadar pengisian jawatan guru bagi sekolah rendah telah mencapai 94.5 peratus, manakala 98.9 peratus bagi sekolah menengah.

“Disebabkan itu, saya berharap dalam masa terdekat, kadar pengisian jawatan guru akan mencapai 100 peratus,” katanya.