KUCHING: Sebanyak 110 kontinjen melibatkan 3,3300 peserta bakal menyertai Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 15 Jun ini, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Billy Sujang berkata, perarakan yang dijadual jam 2 petang itu bermula dari bangunan Tun Jugah dan berakhir di pentas utama di Tebingan Sungai Kuching sejauh 1.3 kilometer (km).
“Peserta yang terlibat terdiri daripada komuniti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Kadazan Dusun dari Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak dan agensi kerajaan dari setiap kementerian di Sarawak.
“Penganjur menawarkan hadiah kepada kontinjen terbaik sebanyak RM10,000 kepada pemenang tempat pertama, RM7,000 bagi tempat kedua dan RM5,000 untuk tempat ketiga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perarakan Gawai Dayak 2024 di Bilik Media Dewan Undangan Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau yang juga ADUN Opar berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah dijangka menyertai perarakan itu.
