KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak mengisytiharkan Daerah Sebuyau sebagai kawasan tanaman kelapa dan Bau-Padawan sebagai kawasan tanaman kopi.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata, ini bagi memastikan bekalan bahan mentah mencukupi untuk industri hiliran makanan berasaskan kelapa dan kopi.
Bagi kawasan tanaman kelapa, Kerajaan Sarawak bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) untuk menubuhkan makmal Kajian Agro di Sebuyau dan menanam benih kelapa berhasil tinggi, katanya semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak meluluskan RM34.42 juta untuk tujuan itu, manakala kawasan tanaman kopi sebanyak RM2.72 juta diluluskan bagi membuka ladang kopi seluas 228 hektar di Bau dan Padawan.
Jatanya, Kerajaan Sarawak melalui Greater Kuching Coordinated Developmeng Agency (GKCDA) memperuntukkan RM15 juta untuk menubuhkan sebuah pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan (CPPC) kopi dan membina infrastruktur ladang di Kampuung Emperoh Jambu-Bayur.
Menyedari pentingnya industri padi dalam menjamin makanan mencukupi, kementeriannya, tambah beliau, akan mewujudkan Lembaga Padi dan Beras Sarawak untuk mengetuai dan menyelaras pembangunan industri itu di negeri ini.
“Lembaga itu akan menyelaraskan inisiatif strategik bertujuan meningkatkan keseluruhan rantaian bekalan industri beras,” katanya.
Mengenai pelaksanaan insentif pengeluaran padi, Rundi berkata, ia bertujuan menggalakkan lebih ramai pekebun terlibat dalam penanaman padi yang Kerajaan Persekutuan setekat ini menyediakan insentif input dan output seperti Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim insentif pengeluaran padi (SIPP), skim subsidi baja dan racun padi bukit (SBRPB) dan skim insentif benih padi berkualiti.
Untuk mencapai 60 peratus sara diri bekalan beras, Sarawak perlu menghasilkan 236,000 tan padi atau bersamaan 142,000 tan beras, katanya.
Justeru, katanya untuk mencapai 100 peratus sara diri bekalan beras, Sarawak memerlukan seluas 17,500 hektar kawasan sawah baharu dan infrastruktur lanjutan untuk menghasilkan 392,000 tan padi atau bersamaan 235,000 tan beras menjelang 2030.
Rundi juga memberitahu dewan, defisit imbangan dagangan makanan Sarawak telah meningkat sejak berapa dekad yang lalu.
Pada 2023, Sarawak mencatatkan defisit imbangan makanan berjumlah RM5.67 bilion berbanding RM3.04 bilion pada 2014 disebabkan oleh peningkatan pengambilan makanan, pengeluaran makanan tidak cekap, bahan mentah tidak digunakan sepenuhnya dan kelemahan nilai Ringgit.
Mengambil kira defisit imbangan makanan sekarang, beliau berkata, rancangan pembangunan strategik pertanian Sarawak akan fokus kepada meningkatkan hasil makanan iaitu cukup untuk sara diri dan mendapat keuntungan daripada eksport makanan.
