LIMBANG: Keharmonian kaum dan agama terus menjadi tunjang pembangunan Sarawak, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menegaskan, kestabilan sosial hasil perpaduan masyarakat berbilang kaum membolehkan kerajaan memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan.
“Perpaduan harus dipelihara kerana ia asas kepada pembangunan Sarawak,” katanya pada Majlis Makan Malam Pemimpin dan Ketua Masyarakat Bahagian Limbang 2026 di Dewan Suarah Limbang, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri-menteri Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan menteri Kerajaan Sarawak dan Persekutuan, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat serta tetamu kenamaan yang lain.
Menurutnya, model keharmonian Sarawak yang mengutamakan kepentingan semua kaum dan agama tanpa menjejaskan kepercayaan masing-masing kini menjadi contoh kepada negeri lain.
Dalam pada itu, beliau berkata kekuatan ekonomi Sarawak dipacu perancangan pembangunan jangka panjang serta kelebihan sumber tenaga seperti hidro dan hidrogen yang lebih murah berbanding diesel, khususnya ketika ketidaktentuan global.
Katanya, bekalan tenaga mencukupi membolehkan Sarawak terus merancakkan pertumbuhan ekonomi.
Abang Johari turut menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk jaringan jalan darat yang menghubungkan Lawas, Gunung Mulu, Gunung Buda hingga ke Miri bagi membuka peluang ekonomi dan meningkatkan kesalinghubungan.
Beliau turut menggesa pemimpin akar umbi memahami dan menyampaikan dasar kerajaan dengan berkesan kepada rakyat.
Kerajaan negeri juga, katanya, meningkatkan elaun ketua masyarakat dan ketua kaum selaras dengan peranan mereka yang semakin mencabar.
“Kita mahu Sarawak terus kukuh kerana kekuatan negeri ini menyumbang kepada kekuatan Malaysia,” tegasnya.
