KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok akan mempertahankan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal sebagai kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata, DUN itu komited untuk mencapai kemenangan besar dalam PRN.
Beliau menegaskan, kemenangan itu boleh dicapai tanpa mengira siapa calon yang ditampilkan GPS di DUN Satok nanti.
“Ia sebagai isyarat jelas bukan sahaja kepada penyokong parti, malah kepada pihak lain bahawa kekuatan dan perpaduan rakyat di Satok kukuh.
“Siapa pun calon yang ditampilkan di Satok, kita mesti beri sokongan tanpa berbelah bahagi demi memastikan kemenangan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri N8 Satok di Kompleks Islam Sarawak, di sini, malam tadi.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Timbalan Ketua Cawangan N8 Satok, Abdul Samad Gany, Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Ir. Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr. Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim.
Lebih 1,000 ahli-ahli cawangan terdiri daripada exco bapa, wanita, pemuda, belia hadir sama.
Menurut beliau, perpaduan dalam kalangan masyarakat Sarawak, khususnya di Satok, menjadi asas penting kepada kestabilan negeri yang selama ini dipimpin oleh barisan kepimpinan berwawasan serta berpandangan jauh.
“Rakyat Sarawak hidup dalam keadaan harmoni dan tidak berdepan perpecahan kerana kita mempunyai kepimpinan yang jelas halatuju serta sentiasa mengutamakan kepentingan negeri,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat Satok agar tidak terpengaruh dengan kemunculan pihak yang aktif secara bermusim.
Beliau turut menekankan kejayaan kerajaan negeri melaksanakan projek pembangunan infrastruktur berskala besar, termasuk pembinaan lebih 20 jambatan menggunakan dana sendiri.
Katanya, tanpa pembinaan jambatan-jambatan tersebut, rakyat khususnya di luar bandar terpaksa bergantung kepada perkhidmatan feri yang bukan sahaja mengambil masa, malah menambah beban kos berikutan kenaikan harga diesel serta sekatan pembelian bahan api itu.
“Dengan siapnya Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Marudi,kebergantungan kepada feri kini dapat dikurangkan, sekali gus memudahkan pergerakan rakyat dan merancakkan aktiviti ekonomi,” ujarnya.
jambatan-jambatan tersebut, rakyat khususnya di luar bandar terpaksa bergantung kepada perkhidmatan feri yang bukan sahaja mengambil masa, malah menambah beban kos berikutan kenaikan harga diesel serta sekatan pembelian bahan api itu.
Majlis itu diseri dengan pelbagai cabutan hadiah menarik seperti televisyen, peti sejuk, basikal, motosikal, pengering pakaian, pakaian terbaik lelaki dan wanita.
