KUCHING: Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak yang julung kalinya diadakan mengetengahkan kewujudan dan peranan Kursi sebagai pusat kajian strategik kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa melibatkan perkembangan umat Islam di Sarawak.
Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha berkata, pada masa sama, persidangan itu turut menyentuh kepentingan penguasaan ilmu dan sektor ekonomi seperti kelestarian ekonomi, keterjaminan makanan dan teknologi kecergasan buatan (AI).
Apa yang menarik dalam persidangan ini katanya, ketokohan Sheikh Othman Sarawak dalam pemikiran dan sumbangannya terhadap dakwah Islamiah turut diberikan perhatian.
“Ia bagi mengangkat keunggulan ulama anak Sarawak ini dan sumbangan luasnya dalam bidang
dakwah dan pendidikan sekali gus melahirkan generasi Muslim yang seimbang dalam mengecapi kejayaan (al-Falah) duniawi dan ukhrawi,” katanya dalam ucapan aluan Persidangan Kursi Sheikh Othman Sarawak 2025 di Dewan Kompleks Islam Sarawak, hari ini.
Perasmian itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tema persidangan ialah “Menyemarak Ilmu: Membangun DuniaKontemporari”, menampilkan beberapa kertas kerja yang menyentuh tentang konsep sains, teknologi dan AI.
Misnu sehubungan itu berharap persidangan tersebut boleh menjadi acara dwi-tahunan bagi menghimpun para pembentang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ini bagi membolehkan mereka membentangkan kertas kerja yang bermanfaat dan memberikan input
kepada Kerajaan Sarawak, khususnya dapat mencapai sasaran negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Persidangan itu dianjurkan MIS dan Kursi Sheikh Othman Sarawak, UKM dengan kerjasama Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
