KUALA RAJANG: Bayaran sewa tanah hampir RM90,000 telah diberi kepada peserta skim tanaman padi di Sungai Bapak, Kampung Rajang di sini.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, skim membabitkan seramai 17 peserta membabitkan 25 lot tanah berkeluasan 135 ekar.
Ia merupakan fasa pertama projek membabitkan sebanyak 82.1 ekar tanah sehingga 15.7 ekar sudah ditanam padi sejak Januari tahun lalu.
“Sehingga kini, tiga pusingan tanaman telah diusahakan, dengan peserta menerima bayaran sewa tanah hampir RM90,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembayaran awal sebahagian sewa tanah untuk skim tersebut kepada Abang Wahab Abang Baha.
Len berkata, terdahulu beliau juga telah menyampaikan bayaran awal sebahagian dari sewa tanah kepada peserta-peserta skim sejumlah RM28,800, 7 Mac lalu.
Menurutnya, skim terbabit adalah kerjasama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR), Padihead Sdn Bhd dan pemilik tanah di Sungai Bapak.
“Padihead Sdn Bhd, dari Kumpulan Ta Ann, telah menjalankan ujikaji penanaman padi di Sungai Bapak, Kampung Rajang sejak Oktober 2023, dengan menyewa tanah milik penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata, skim ini memberi pendapatan kepada pemilik tanah yang terbiar hampir 50 tahun dan menyokong usaha Kerajaan Sarawak mencapai keterjaminan makanan serta menjadikan Delta Rajang pengeluar beras utama di Sarawak.
