Astana Negeri Sarawak anjur Majlis Bersungkei bersama ketua masyarakat DUN Demak Laut

KUCHING: Astana Negeri Sarawak telah menganjurkan Majlis Bersungkei 1446H/2025M di Surau Astana Negeri Sarawak bersama ketua masyrakat dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut semalam.

Antara tetamu kehormat yang hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni bersama isteri Datin Dayang Halimah Abang Paul.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato’ Sri Syed Hamzah Syed Paie menyambut kehadiran tetamu, termasuk Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sarawak, Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

Sejurus selepas berbuka puasa, para hadirin menunaikan solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih secara berjemaah yang dipimpin oleh Penolong Kanan Tahfiz Al-Quran, Ustaz Mohd Safwan Mahli Al-Hafiz.

Majlis diteruskan dengan sesi rakaman Tadarus bersama Radio Sarawak FM yang melibatkan kakitangan serta anak-anak kakitangan Astana.

Inisiatif ini bukan sahaja menghidupkan amalan membaca Al-Quran tetapi turut memperkukuh penghayatan kalam suci dalam kalangan peserta.