SARIKEI: Prihatin dengan golongan kurang bernasib baik, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) untuk meringankan beban mereka menjelang hari lebaran.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menyerahkan replika cek dalam Program Jelajah Ramadan DUN Kuala Rajang di Masjid Al-Muttaqim, Sarikei pada Isnin lalu. Ia turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab.
Sebagai tanda kebersamaan dalam menghayati keberkatan bulan suci, beliau turut berbuka puasa bersama penduduk dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta Terawih secara berjemaah.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM2,000 kepada pengurusan Masjid Al-Muttaqim bagi keperluan operasi serta aktiviti masjid.
Selain itu, sebanyak RM13,950 diperuntukkan menerusi ketua-ketua kaum di kawasan masing-masing sebagai duit raya kepada 279 penerima yang terdiri daripada warga emas, golongan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, asnaf dan anak yatim.
