KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut terus membantu golongan kurang bernasib baik dalam meraikan kesucian bulan Ramadan dan menyambut Hari Raya.
Sehubungan ini, seramai 14 anak yatim di Taman Sepakat Jaya di sini diraikan majlis berbuka puasa di Surau Taman Sepakat Jaya, baru-baru ini.
Selain dihidangkan dengan juadah berbuka puasa, anak-anak yatim itu juga menerima sumbangan wang tunai dan sehelai kain untuk meraikan kemeriahan Hari Raya kelak.
Sumbangan itu disampaikan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau berharap sumbangan ini akan menceriakan anak-anak berkenaan dalam meraikan suasana Ramadan.
Beliau juga menyatakan agar program sumbangan ini akan diteruskan ke kampung-kampung lain dalam kawasan Demak Laut sepanjang bulan Ramadan.
Dr Hazland turut menyertai penduduk Taman Sepakat Jaya dan anak-anak yatim berkenaan menunaikan solat maghrib, isya dan solat teraweh.
Turut hadir ialah Ketua Kaum, Abdul Rahman Ismawi, Timbalan Ketua Cawangan PBB N5 Demak Laut, Rahmat Sabang dan Naib Ketua Cawangan PBB N5 Demak Laut, Hassan Eli serta ketua dan jawatankuasa Parti PBB Ranting Taman Sepakat Jaya.
