KUCHING: Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan melabuhkan sebanyak 300 tukun tiruan di perairan Kabong bermula 5 hingga 9 Mei depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, program tersebut merupakan inisiatif kerajaan melalui SFC dan akan dilaksanakan kira-kira 13 batu nautika dari darat Kabong.
“Ia bertujuan memperkayakan sumber perikanan, mempertingkatkan ekosistem marin dan menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti di kawasan perairan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perbincangan ‘Reefball Deployment’ di perairan Kabong bersama Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran di Pejabat SFC, di sini, hari ini.
Katanya, ini akan memberi manfaat ekonomi kepada nelayan terutama di kawasan perairan laut Kabong dan juga menjadi lokasi tarikan pelancong khususnya peminat aktiviti memancing.
