4,465 penerima bantuan Kuching terima sumbangan JKMS

KUCHING: Seramai 4,465 daripada keseluruhan 10,549 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) sumbangan Sejambak Kasih Aidilfitri pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM446,500 untuk penerima di Kuching sahaja.

Katanya, mereka akan menerima sumbangan wang tunai RM100 beserta hamper barangan makanan bernilai RM80 sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri 2025 di Majma Mall, di sini, hari ini.

Seramai 150 penerima di Kuching hadir pada majlis itu untuk menerima bantuan tersebut.

Menurut Fatimah, bagi mereka yang tidak dapat hadir, bantuan wang tunai RM100 akan dikreditkan terus ke akaun penerima.

Jelas beliau, objektif untuk meringankan beban kewangan golongan kurang berkemampuan serta menceriakan mereka dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

Dalam perkembangan berkaitan katanya, JKMS telah menyalurkan bantuan berjumlah RM49,200,500 kepada seramai 54,384 penerima di seluruh negeri dalam tempoh Januari hingga Februari 2025.

Bantuan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, jelasnya lagi.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan dua insentif penting kerajaan negeri, iaitu Kenyalang Gold Card (KGC) untuk warga emas serta kad Orang Kurang Upaya (OKU) kepada penerima yang layak.

Selain itu, empat wakil keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Tabuan Lot pada 5 Mac 2025 turut hadir bagi menerima bantuan kebajikan.
Kebakaran tersebut melibatkan 38 orang mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

Sebanyak RM11,700 telah disalurkan dalam bentuk bantuan makanan kering, kelengkapan tidur, dan peralatan dapur.
Selain itu, wang saku, pakaian harian, pakaian sekolah, serta peralatan sekolah berjumlah RM18,400 turut diberikan kepada mangsa bagi membantu mereka memulakan kehidupan baharu selepas tragedi tersebut.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Pengarah JKMS Semawi Mohamad.