KUCHING: Sarawak akan membina Loji Janakuasa Kitaran Gabungan (CCGT) di Miri menerusi kerjasama strategik bersama Mitsubishi Heavy Industries (MHI).
Pengurus Besar Kanan, Bahagian Perniagaan GTCC, Sistem Tenaga Mitsubishi Heavy Industries, Ltd. (MHI), Takuya Murase, memaklumkan bahawa loji janakuasa dijadual memulakan operasi pada akhir Disember 2027 bukan sekadar satu projek tenaga biasa.
Ia merupakan permulaan kepada kerjasama erat antara Sarawak dan MHI dalam teknologi hidrogen, jelasnya.
“Kami telah menerima tempahan untuk membekalkan loji janakuasa CCGT di Miri, yang direka khusus untuk menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar.
“Ini merupakan pencapaian besar dalam memperkukuh masa depan tenaga hijau di Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi MHI mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia pagi tadi.
Menurut Takuya, proses pengeluaran turbin gas bagi loji tersebut akan bermula pada 2026, dengan penghantaran ke Sarawak dijangka sekitar pertengahan tahun yang sama, sebelum loji itu memulakan operasi komersial pada penghujung 2027.
Beliau yang pertama kalinya datang ke Sarawak turut menyatakan kekagumannya terhadap kepesatan pembangunan negeri ini.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific Kazuki Ishikura, Pengurus Besar Mitsubishi Heavy Industries Kuala Lumpur (MHI-KL) Daisuke Wakasugi, Pengurus Besar Kanan Mitsubishi Power Asia Pacific Ong Hui Leong serta Ketua Cawangan Mitsubishi Power Asia Pacific Masato Sakamoto.
