KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan aktiviti mengimarahkan bulan Ramadan dengan menghadiri Majlis Berbuka Puasa, Solat Jemaah Maghrib, Isyak dan Tarawih Bersama Pemimpin dan Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak malam ini.
Majlis dihadiri lebih 500 hadirin dimulakan dengan berbuka puasa bersama, disusuli dengan solat Maghrib sebelum tetamu menikmati jamuan makan malam.
Imam Besar Negeri Sarawak, Dato Mustapha Kamal memimpin solat Isyak dan Tarawih di Surau DUN Sarawak.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Dif-Dif Kenamaan, Ketua-Ketua Jabatan serta pemimpin masyarakat.
Selain mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, majlis ini turut menjadi platform dalam mengukuhkan perpaduan dengan kehadiran pemimpin beragama Islam dan bukan Islam dalam mengimarahkan bulan Ramadan.
