KUCHING: Isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetap menjadi keutamaan dalam rundingan antara Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ini terutamanya dalam isu agihan Geran Khas di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Kita akan terus membincangkan perkara-perkara yang masih belum selesai sepenuhnya. Banyak lagi yang perlu dihalusi, jadi ia adalah proses berterusan.
“Antara perkara utama dalam mesyuarat jawatankuasa teknikal bulan ini ialah formula pengiraan Geran Khas di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas menghadiri program pengagihan bakul makanan dan bubur lambuk anjuran PEMADAM Negeri Sarawak, SABERKAS Negeri Sarawak serta Biro Kebajikan N7 Semariang di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya telah membentangkan formula dari Sarawak mengenai bagaimana geran khas ini boleh dikira dan keputusan mengenai perkara ini amat diperlukan.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa autonomi Sarawak dalam bidang pendidikan dan kesihatan turut menjadi tumpuan utama perbincangan sedang berjalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu berkata, Kerajaan Sarawak menghargai sokongan dalam memperjuangkan hak negeri, khususnya berkaitan minyak dan gas, namun menegaskan sokongan itu haruslah ikhlas tanpa agenda politik.
Tegas beliau, perjuangan menuntut hak minyak dan gas bukan isu baharu, sebaliknya telah lama diperjuangkan oleh Kerajaan Sarawak, khususnya di bawah kepimpinan Premier Sarawak.
“Yang penting mereka (DAP) sokong apa yang diusahakan oleh Premier kita. Jangan sokong hanya ketika hendak pilihan raya atau ada agenda lain,” katanya.
Beliau mengulas demikian sebagai respons kepada kenyataan Pemuda Sosialis DAP Sarawak (DAPSY) bahawa parti itu bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dalam menuntut hak minyak dan gas daripada Kerajaan Persekutuan.
