TYT, isteri berbuka puasa bersama warga Markas Medan Timur

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Ja’afar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berbuka puasa bersama warga Markas Medan Timur di sini, hari ini.

Ketibaan beliau di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen, Batu 8 disambut Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD) Leftenan Jeneral Dato Mohd Sofi Md Lepi dan isteri Datin Erni Irawati Rosli.

Mengiringi Tun Dr Wan Junaidi ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Komander Rejimen 510 Askar Wataniah Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta isteri Datin Amar Baduyah Bujang.

Majlis ini adalah acara tahunan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan pemimpin negeri serta masyarakat sempena Ramadan.

Tun Dr Wan Junaidi diberi penghormatan untuk menyampaikan sumbangan kepada lima orang anggota tentera dan anak yang menghidapi penyakit kronik, tiga orang asnaf dan lima saudara baharu yang memeluk Islam pada 2024.

Turut disampaikan ialah sumbangan kepada penghuni Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah, terdiri daripada enam lelaki dan 19 perempuan.