SIMANGGANG: Usaha memperkasakan pembangunan belia dan seni warisan perlu diberi sokongan sepenuhnya.
Antaranya silat dan aspek latihan, infrastruktur dan kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan serta swasta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pertubuhan silat berperanan penting membentuk sahsiah anak muda agar tidak terpesong dalam arus hiburan melalaikan dan cabaran teknologi masa kini.
“Cabaran teknologi dan hiburan yang melalaikan menuntut kita menyediakan benteng nilai. Pertubuhan silat seperti Persaudaraan Silat Mayang Mengurai menjadi medan penting membentuk generasi muda yang berakar pada budaya dan bercita-cita tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pentauliahan Pesilat Pertubuhan Persaudaraan Silat Mayang Mengurai Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, malam semalam.
Dayang Noorazah menjelaskan, silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, malah merupakan wahana memperkukuh perpaduan kaum serta membentuk jati diri belia Sarawak yang berbilang bangsa.
Beliau menyifatkan majlis pentauliahan itu mencerminkan kejayaan pesilat yang menempuh latihan penuh pengorbanan dan disiplin tinggi.
Peserta dari Kuching, Kabong, Bintangor, Sibu, Kapit dan Bintulu menyertai majlis itu.
