Pesta Pulau Bruit pemangkin ekonomi penduduk tempatan

DARO: Pesta Pulau Bruit 2025 membuktikan potensi sebagai pemangkin ekonomi tempatan dengan mencatat jualan keseluruhan mencecah RM200,000 sepanjang lima hari penganjuran.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ia membuktikan permintaan tinggi terhadap produk tempatan khususnya hasil laut dan pertanian.

Menurutnya, penganjuran pesta ini bukan sahaja membuka ruang kepada usahawan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka, malah menjadi platform memperkenalkan Pulau Bruit sebagai kawasan yang kaya dengan hasil laut dan pertanian.

“Limpahan ekonomi daripada pesta ini turut dirasai masyarakat apabila peluang pekerjaan sementara diwujudkan, selain menggalakkan interaksi sosial yang lebih erat dalam kalangan komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penangguhan Pesta Pulau Bruit 2025 hari ini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sambil menegaskan bahawa pesta berkenaan memberi impak besar kepada sosioekonomi masyarakat setempat.

Sebanyak 95 gerai mengambil bahagian dalam pesta tersebut yang menampilkan pelbagai produk menerusi Gerai Mini Agrofest, Gerai Komuniti Semop, Gerai Usahawan serta Gerai Pasar Tani Daro.

Ia menghimpunkan semua 14 penempatan di Pulau Bruit dengan pengisian pelbagai acara menarik seperti sukan, kebudayaan, sukaneka dan aktiviti rekreasi, sekali gus memperkukuh perpaduan serta kerjasama masyarakat.

Acara kemuncak penangguhan diserikan dengan penyampaian hadiah pertandingan, cabutan bertuah.