UNITED KINGDOM: Misi Pelaburan Sarawak ke United Kingdom (UK) dari 23 hingga 28 September lalu berjaya membina momentum baharu, kata Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Katanya, langkah itu perlu dalam usaha menarik pelaburan asing, selain mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab pelaburan berdaya saing di rantau Asia Tenggara.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), berkata, misi tersebut adalah kesinambungan daripada Sarawak Connects yang dianjurkan Mei 2025.
“Ia membuktikan bahawa Sarawak bukan sahaja menarik pelaburan tetapi turut memupuk kerjasama strategik yang menjana pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat negeri ini.
“Ia juga mengukuhkan kedudukan Sarawak di peringkat serantau sebagai hab yang neutral, inovatif dan berdaya saing di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Delegasi Sarawak yang diketuai Awang Tengah berinteraksi dengan pelabur kewangan global dan syarikat-syarikat utama bagi memposisikan Sarawak sebagai hab utama untuk inovasi dalam tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, aeroangkasa dan pembuatan termaju, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS2030).
Mereka turut mengadakan siri mesyuarat strategik bersama eksekutif C-suite daripada syarikat multinasional (MNC) dan pelabur kewangan global termasuk Technip Energies, Standard Chartered UK, Vemi Capital, Global Interconnection Group dan Aurrigo.
Perbincangan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan dalam pembuatan kabel dasar laut voltan tinggi bagi menyokong inisiatif Grid Tenaga ASEAN.
Menurutnya, respons daripada industri di UK juga sangat memberangsangkan, dengan keyakinan tinggi bahawa dialog tersebut akan menghasilkan projek-projek berimpak tinggi yang saling menguntungkan serta memajukan matlamat pembangunan Sarawak dan aspirasi pelaburan global UK.
“Sarawak turut mempamerkan keupayaan dalam tenaga boleh diperbaharui, ekosistem industri yang kukuh, serta komitmen teguh terhadap kelestarian, yang disokong oleh dasar yang jelas dan progresif,” katanya.
