Sarawak mahu wanita muda jadi pelapis pemimpin

KUCHING: Lebih ramai wanita muda perlu diberi ruang untuk menjadi barisan pelapis pemimpin masa depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini termasuk sebagai pelapis pemimpin masa depan Sarawak.

“Kita juga mahu melihat lebih ramai wanita muda dilatih, dibimbing dan diberi ruang untuk menjadi barisan pelapis pemimpin masa depan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Sempena Majlis Penangguhan Women Leadership Program 2025 (Bahagian Kuching) di sini, hari ini.

Fatimah berkata, ini kerana pemimpin wanita membawa nilai tambah dalam kepimpinan iaitu sifat empati, daya juang, dan keupayaan membina konsensus.

“Di samping itu, wanita juga berperanan sebagai mentor dan role model, menjadi
inspirasi kepada generasi muda untuk berani melangkah ke arena kepimpinan,” tambahnya.

Untuk terus relevan dan berdaya saing, katanya pemimpin wanita perlu melengkapkan diri dengan kepimpinan strategik untuk merancang masa depan negeri dan kemahiran komunikasi berkesan untuk menyampaikan mesej dan memimpin dengan yakin.