Program kecemerlangan SPM UNIMAS bantu pelajar buat persediaan

SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mengadakan Program Permukiman Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Matang 2 di kampus UNIMAS di sini.

Menurut kenyataan UNIMAS, program dijayakan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS itu mendapat kerjasama erat Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Program itu berhasil menyantuni 110 pelajar persediaan SPM selama tiga hari dua malam.

Melalui bantuan Kolej Cempaka dan Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) UNIMAS, program itu menyasarkan
meningkatkan pencapaian akademik murid dalam semua mata pelajaran teras dan elektif.

“Antara strategi utama ditumpukan sepanjang tiga hari adalah pendekatan pengajaran berfokus, mengenal pasti kelemahan dan kekuatan diri pelajar dalam suasana baharu dan selesa kampus,” menurut UNIMAS.

Antara penceramah didatangkan khas untuk berkongsi panduan, teknik dan modul pembelajaran terbaik dan bersistematik ialah Ustaz Liza Narawi, Azizah Farizah Hussain, Mohd Rifky Affendi, Latip Acai, Christina Tan serta pakar kaunselor dan kesihatan
mental, Lawrence Sengkuai.

Majlis penangguhan disempurnakan Naib Canselor UNIMAS, Prof Dr. Ahmad Hata Rasit. Hadir sama Dekan Fakulti Pendidikan Bahasa dan Komunikasi UNIMAS, Dr. Dilah Tuah, Pengetua SMKA Matang 2, Yazid Rajali, Pengarah PITAS; Mohamad Zaky Gardafi Ibrahim dan Yang Dipertua PIBG SMKA Matang 2, Raya Kechil.