Mangsa kebakaran Kampung Tengah terus terima bantuan

SIMANGGANG: Tujuh keluarga mangsa kebakaran di Kampung Tengah di sini menerima sumbangan derma kilat hasil kutipan awam.

Kutipan berjumlah RM21,400 itu dikumpul selama enam hari kemudian diserahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak.

Ketua Kaum Kampung Tengah, Kiffle Morni berkata, kutipan derma itu digerakkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sejak 29 Julai lalu bagi membantu meringankan beban mangsa kebakaran.

“Daripada jumlah itu, rumah lima keluarga musnah sepenuhnya masing-masing menerima RM3,852, manakala dua keluarga yang kediamannya mengalami kerosakan kecil menerima RM1,070,” katanya.

Beliau berkata, dana tersebut hasil sumbangan orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya menghargai keprihatinan penderma yang turut sama membantu mangsa,” katanya.

Turut menerima sumbangan alah Sukarelawan Anak Malaysia (Satria Sri Aman) menerima RM1,500 daripada Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, sebagai tanda sokongan atas usaha bantuan kemanusiaan mereka.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada sukarelawan Satria Sri Aman.