KUCHING: Projek Bandar Selamat yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan diperluaskan di bandar raya ini pada tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, ini termasuk di kawasan Satok dengan kemungkinan selepas ini di Jalan Haji Taha.
“Projek ini membebaskan masyarakat dari rasa takut (terhadap jenayah) seperti menambah lampu di tempat gelap dan pemotongan rumput tinggi di kawasan perumahan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Projek Bandar Selamat di hadapan Taman Rekreasi Komuniti Happy Garden, Jalan Nanas, di sini, hari ini.
Ibrahim Baki berkata, projek itu juga membabitkan pemasangan penghadang di laluan pejalan kaki bagi mencegah jenayah ragut serta pemasangan papan tanda mengenai bahaya jenayah dan sebagainya.
Beliau berkata, inisiatif ini dimulakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sejak 2011 dan diselaras Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta DBKU bertanggungjawab bagi pelaksanaannya di kawasan Satok.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perkhidmatan Infrastruktur DBKU, Mohamad Faisal Adenan, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembangunan Landskap DBKU, Durie Austine Tinggie dan Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Polis, Mohd Farhan Lee Abdullah.
