Projek pembangunan dipantau rapi, perlu siap ikut jadual

KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri adalah jabatan yang paling dipantau rapi di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, ini disebabkan JKR adalah jabatan berada di barisan hadapan dalam melaksanakan banyak projek pembangunan di seluruh negeri.

“Justeru, kita memiliki banyak kerja pembinaan yang perlu diawasi dan dipantau rapi,” katanya berucap pada majlis makan malam meraikan pasukan JKR negeri yang mengambil bahagian dalam Karnival Sukan JKR Kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur minggu lalu.

Pasukan JKR Sarawak menduduki tempat keempat keseluruhan dengan memenangi satu pingat emas, perak (sukan badminton) dan ping pong dan gangsa (boling). Ini adalah pencapaian terbaik sejak menyertai tiga karnival sukan itu.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, rakyat sedang memantau JKR dengan rapi kerana mereka mahu projek terbabit dilaksanakan dengan sempurna.

Beliau berkata, dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyuarakan rasa kecewanya terhadap ketidakupayaan beberapa agensi dalam memenuhi keperuan rakyat dan melaksanakan program pembangunan dengan sebaik-baiknya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua jurutera bahagian supaya peka dengan keadaan itu.

“Kita tidak mahu mendengar berlakunya ‘projek sakit atau lewat’ dan kemalangan di tempat kerja. Hakikatnya, kita memiliki prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme bagi menjamin setiap projek berjalan lancar,” tegas beliau.

Uggah turut mencadangkan supaya Pengarah JKR Negeri, Dr Cassidy Morris menubuhkan satu pasukan bagi menilai SOP berkenaan daripada peringkat reka bentuk hingga menyiapkan dokumen tender, penawaran kontrak, pelaksanaan projek dan memantau komitmen kontraktor untuk menyiapkan mengikut jadual.

“Kita memiliki SOP yang jelas dan tempoh pembinaan projek terbabit harus dipercepatkan dengan melaksanakan tugas lebih cepat daripada biasa,” katanya.

Uggah juga menggesa pegawai JKR untuk memastikan keselamatan penumpang feri dengan meningkatkan penguatkuasaannya.

Menurut beliau, kesemuanya terdapat 12 feri yang menyeberangi sungai di negeri ini dan semua penumpang dikehendaki memakai jaket keselamatan.

Mengenai karnival sukan itu, beliau berkata, kementeriannya memberi sokongan penuh kepada JKR negeri menjadi tuan rumah pada 2026.

“Kita boleh menimba pengalaman daripada kejayaan menganjurkan SUKMA XXl untuk menjadikan karnival sukan JKR kebangsaan 2026 satu kejayaan,” tegas beliau.