MELBOURNE: Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak akan membangunkan pusat pembangunan dan penyelidikan (R & D) di Kuching.
Pusat itu akan menumpukan tenaga diperbaharui serta sektor avionik berteknologi tinggi.
Perkara itu dijelaskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, tapak bagi menempatkan pusat penyelidikan baharu itu sedang dikenal pasti.
Katanya, pusat penyelidikan itu sangat penting bagi membolehkan universiti menumpukan sepenuhnya terhadap penyelidikan untuk meneroka kaedah baharu bagi pengagihan tenaga.
“Pusat penyelidikan itu berperanan mengkaji bidang pembuatan komponen-komponen untuk sektor penerbangan, satelit termasuk dron.
“Kerajaan Persekutuan mengenal pasti Sarawak sebagai tempat untuk melancarkan satelit dan satelit ini ada hubung kait dengan aeroangkasa.
“Kita datang ke sini melihat bahan-bahan mentah yang digunakan dalam penerbangan seperti dron, komponen kapal terbang dan komponen-komponen lain yang mesti mempunyai material kuat dan ringan, termasuk komposit.
“Kita akan balik berbincang kerana kita hendak khususkan kampus di Sarawak membuat penyelidikan tenaga dan keduanya teknologi turbin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak mengadakan lawatan ke makmal ujian (Pembuatan Termaju) Industri Kebangsaan 4.0 Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (Swinburne-CSIRO), Clayton hari ini.
Turut mengiringi Premier Sarawak ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Swinburne Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman, Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli dan delegasi kerajaan Sarawak yang lain.
Tambah Premier Sarawak, pihaknya juga akan berkolaborasi dengan Universiti Teknologi Swinburne di Australia untuk mendapatkan tenaga pengajar bagi ditempatkan di pusat penyelidikan tersebut.
Perkongsian ilmu baharu ini sangat penting kerana Sarawak mempunyai kelebihan dengan memiliki tenaga diperbaharui untuk menghasilkan bahan-bahan baru ini.
Dalam hal ini katanya, Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak dan kampus induk di Australia akan mengadakan program pertukaran pelajar di peringkat PhD selama 18 bulan.
Terdahulu, Premier Sarawak melawat dua makmal penyelidikan berteknologi tinggi di Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Hawthorn.
Lawatan beliau bermula di Factory of the Future dan Digital Innovation Lab.
Premier diberi taklimat mengenai operasi di makmal penyelidikan tersebut oleh Pengarahnya, Profesor Prem Prakash Jayaraman.
Abang Johari berkesempatan menyantuni seramai 16 pelajar Sarawak yang menuntut di Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Hawthorn.
Premier Sarawak dijadual menyampaikan ucaptama di Forum Perniagaan ASEAN Australia berjudul ‘The Powerhouse of Green Economy in ASEAN’ di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Sydney pada Khamis.
