KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.1 bilion tahun depan untuk membaiki dan menggantikan saluran paip lama di seluruh negeri ini, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan berharap rancangan membaiki dan menggantikan saluran paip lama, ada yang sudah berkarat akan siap dalam masa lima tahun.
“Dalam proses membaiki dan menggantikan paip lama itu menggunakan teknologi terkini, kerajaan turut memasang data supaya dapat mengesan saluran paip yang bocor pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Sisa Air dan Air Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2024 di sini.
Menurut Premier Sarawak, oleh kerana kebanyakan saluran paip di negeri ini dipasang pada era zaman koloni justeru, sebahagian besarnya sudah berkarat dan ada yang bocor.
“Ini perlu kita ganti supaya tidak banyak air dibazirkan dan dengan mempunyai data saluran paip mudah untuk mengesan kebocoran,” tegas beliau.
Beliau menambah, dengan menggunakan teknologi juga kerajaan berharap dapat merawat dan mengitar semula sisa air untuk tujuan pertanian.
Dalam ucaptamanya semasa merasmikan persidangan BIWWEC 2024 itu, beliau berkata, Sarawak mencapai banyak kejayaan dalam membangunkan infrastruktur air dan air buangan dan penggunaannya.
Kejayaan Sarawak itu, tegas beliau, boleh dirangkumkan dalam lima perkara yang mengetengahkan kejayaan dan pendekatan pembangunan infrastruktur air untuk masa depan.
Pada era zaman koloni, sistem bekalan air hanya dibangunkan untuk membekal air di pejabat pentadbiran dan pusat bandar seperti Kuching, katanya.
Selepas merdeka menandakan bermulanya era Kerajaan Sarawak merancang pelan mengembangkan bekalar air di seluruh negeri dengan projek Sistem Bekalan Air Bandar, katanya.
Abang Johari menegaskan, Sarawak kini merancang membangunkan sistem pengurusan air bijak yang dilengkapi dengan data dan analitik bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pembaziran.
Pencapaian dalam inovasi itu adalah pelaksanaan meter air bijak di Kuching, Samarahan dan Serian yang membolehkannya dibaca dari jauh, tegas beliau.
Beliau bangga kerana Kuching telah dipilih untuk menganjurkan Persidangan dan Pameran Air Sedunia pada 2028 yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching 2 (BCCK2) yang baharu.
Persidangan dan pameran itu kelak, katanya, memberi banyak makna kepada Sarawak kerana turut disertai oleh pengamal dan pakar dalam industri bekalan air dari seluruh dunia.
GAMBAR:PEJABAT PREMIER
