STATOS perkukuh hubungan Sarawak, Singapura

SINGAPURA: Hubungan dua hala antara Sarawak dan Singapura akan diperkukuh melalui pelbagai inisiatif dilaksanakan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS).

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata kerjasama erat dengan Singapura merupakan langkah strategik untuk memanfaatkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

Ujarnya, usaha ini bukan hanya tertumpu kepada promosi pelancongan, malah turut melibatkan pengembangan dalam bidang pendidikan dan perdagangan untuk menarik lebih ramai pelabur serta pelajar ke negeri ini.

“Sarawak dan Singapura mempunyai sejarah kerjasama dan kami berhasrat untuk memanfaatkan peluang ini bagi memperluaskan lagi jaringan ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Malam Anugerah dan Penghargaan Sarawak Warriors 2024 di Hotel Park Royal on Beach Road malam tadi.
Katanya, Sarawak berpotensi sebagai hab utama bagi pelancongan pendidikan yang menawarkan pengalaman pembelajaran yang unik dan pelbagai.

Ini diperlihatkan melalui peningkatan minat daripada institusi pendidikan Singapura untuk menghantar pelajar mereka ke Sarawak bagi program pertukaran dan latihan industri, sebagai tanda pengiktirafan terhadap kualiti dan nilai yang negeri ini tawarkan.

Abdul Karim menambah, kerjasama dalam sektor ekonomi juga diperkukuh melalui pelbagai usaha seperti perundingan untuk membekalkan elektrik secara terus ke Singapura, pembangunan pusat data, dan eksport produk pertanian Sarawak ke negara tersebut.
“Inisiatif-inisiatif ini dijangka akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Dengan memperluaskan usaha di Singapura, Sarawak bukan sahaja berhasrat untuk menarik pelancong, tetapi juga untuk menjadi destinasi pilihan bagi pendidikan, inovasi, dan pertukaran budaya,” tambahnya.

Malam itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Sarawak Warriors 2024 untuk kategori Agensi Pelancongan Terbaik.

Ia untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang ejen pelancongan dan rakan kongsi dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama sepanjang tahun lalu.

Anugerah Emas dimenangi oleh EU Holidays Pte Ltd, yang menerima trofi dan sijil khusus, hamper produk buatan Sarawak, serta hadiah bernilai RM9,000.

WTS Travel and Tours Pte Ltd meraih Anugerah Perak dengan trofi dan sijil, hamper produk Sarawak dan hadiah bernilai RM6,000, manakala Singatour Pte Ltd diiktiraf sebagai pemenang Anugerah Gangsa dengan trofi dan sijil, hamper produk buatan Sarawak serta RM3,000.
Majlis itu juga menyaksikan pemenang Anugerah Sarawak Top Rainforest Warriors bagi kategori Jurujual Terbaik, di mana Wong Sing Ling dari Singatours Pte Ltd, Sabastian Lim dari EU Holidays Pte Ltd dan Samantha Wun dari WTS Travel & Tours Pte Ltd diiktiraf.

Kesemua pemenang menerima trofi dan sijil khusus, hamper produk buatan Sarawak, serta baucar belanja SGD200.

Hadir sama Timbalan Menteri Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan serta isteri Datin Melinda Claudia Bucking Lawan, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini, Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak Dato Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Datu Salleh Askor, Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Singapura Norliza Md Zain.