SPAOH: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) akan menyedia peruntukan sebanyak RM60 juta untuk membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban sebagai kawasan pengeluaran makanan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha membangunkannya akan dipertingkatkan tahun hadapan.
“Masyarakat tani di sini akan dibimbing bagi merebut peluang pertanian pilihan mereka sendiri,” katanya berucap pada majlis perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban di Rh. Mendit Unsu, Penom di sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, antara sektor pertanian yang dikenal pasti dibangunkan ialah kelapa sawit, lada, padi, buah-buahan dan sayur-sayuran di samping ternakan.
Bidang lain yang turut boleh dibangunkan ialah pembuatan kuih tradisional, jahitan dan tenunan, katanya dan menambah, untuk tujuan pamasaran, pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan berharga RM17 juta di Bebuling kini hampir siap.
“Kita sekarang dalam proses menempah kemudahan seperti mesin pengeringan, pembungkusan dan pembekuan,” tegas beliau.
Landasan terbang STOLport Bebuling yang dijangka sipa pada Ogos tahun depan, katanya, akan menyediakan kemudahan pengangkutan lebih cepat untuk barangan siap dieksport ke keluar negeri.
Pertubuhan Peladang tempatan dan beberapa agensi lain akan membantu menerokai pasaran, katanya sambil menegaskan, konsep pertanian moden seperti fertigasi dan hidroponik tetap diutamakan.
Setakat ini, katanya, beberapa penduduk tempatan berjaya menggunakan kaedah pertanian moden itu dan berharap untuk melatih lebih ramai petani mengamalkannya di Taman Pertanian Bebuling.
Taman Pertanian Bebuling itu meliputi kawasan seluas 65 hektar untuk rumah hijau dan 300 hektar untuk pertanian lain.
Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan membantu petani supaya berjaya, kata Uggah yang kemudian melawat tapak projek jambatan Sungai Paku bagi meninjau perkembangannya.
Jambatan sepanjang 107 meter (m) itu berharga RM36 juta dan dijangka siap pada Oktober tahun hadapan.
Uggah turut melawat SK Paku Sentral bagi meninjau perkembangan pembinaan jalan raya berharga RM500,000 di situ.
