Bantu tangani masalah sosial – Iskandar

BINTULU: Masyarakat digesa supaya menggunakan kemudahan awam seperti dewan serbaguna sepenuhnya bagi menjayakan program berkaitan pembangunan komuniti dan belia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, dewan serbaguna adalah tempat terbaik untuk menganjurkan aktiviti yang membabitkan penyertaan semua lapisan masyarakat dan mengumpul belia membina semangat jati diri.

“Finland berjaya mengurangkan masalah sosial dalam kalangan belianya kerana bijak menggunakan kemudahan awam yang disediakan,” katanya merasmikan Program Taklimat Khas Biro Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) Kawasan Penghulu Daerah Bintulu Tahun 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata, ini adalah contoh yang baik bahawa Sarawak juga boleh berjaya menangani masalah sosial berkaitan dengan salahguna dadah dan ketagihan alkohol dalam kalangan belia.

“Di dewan serbaguna itu, Finland menggunakannya untuk mengadakan aktiviti sukan selepas waktu sekolah dan menggalak masyarakat terbabit dalam menganjurkan program,” katanya.

Iskandar turut menggesa ketua masyarakat dan kaum supaya memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu sosial seperti penagihan dadah dan alkohol, terutama dalam kalangan generasi muda.

Seramai enam penghulu dan 184 ketua kaum Daerah Bintulu menghadiri program taklimat itu untuk memberi penerangan dan meningkatkan kefahaman mengenai peranan dan fungsi Biro MIDS.

Hadir sama Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.