Sarawak sambut baik cadangan bina loji petrokimia

BEIJING: Kerajaan Sarawak menyambut baik cadangan penubuhan loji petrokimia di negeri ini oleh Inner Mongolia Yuantong Coal Chemical Group Co Ltd.
 
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, terdapat potensi manfaat ekonomi dan teknologi yang boleh dibawa ke rantau ini menerusi penubuhan loji itu.
 
“Kerajaan Sarawak komited untuk memupuk perkongsian yang menggalakkan pertumbuhan industri dan inovasi yang mampan. 
 
“Kita menantikan kajian kebolehlaksanaan Yuantong untuk menilai daya maju projek dan kesannya terhadap pembangunan kepada Sarawak,” katanya semasa mengetuai satu sesi perbincangan dengan Yuantong bersama delegasi Sarawak di Beijing, semalam.
 
Difahamkan, Yuantong Coal Chemical Group diiktiraf sebagai salah satu daripada 500 Perusahaan Swasta Teratas di China, menawarkan teknologi termaju, portfolio sebanyak 20 paten berdaftar dan kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang teguh dalam petrokimia.
 
Syarikat itu turut menekankan komitmennya untuk membawa kepakaran termaju kepada projek yang dicadangkan sejajar dengan visi Sarawak untuk pembangunan perindustrian dan ekonomi.
 
Menyertai delegasi Sarawak ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkarnain Masron, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Awang Zamhari Awang Mahmod, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni dan Ketua Pegawai Eksekutif INVEST Sarawak Timothy Ong.