KUCHING: Transformasi ke arah ekonomi digital di Sarawak menunjukkan perkembangan positif apabila aplikasi S Pay Global, berjaya menggerakkan lebih 138 juta transaksi bernilai RM5.21 bilion setakat pertengahan Jun 2025.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi, aplikasi itu menarik penyertaan seramai 1.58 juta pengguna serta 94,700 peniaga, menjadikannya antara aplikasi kewangan paling meluas digunakan di negeri ini.
“Antara kelebihan utama yang ditawar S Pay Global termasuk keupayaan membuat bayaran menggunakan kod QR.
“Selain itu, pemindahan wang, penggunaan baucar diskaun, pembayaran balik pinjaman pelajaran, serta kemudahan untuk menyumbang derma, membuat pesanan makanan, membayar insurans dan caj parkir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Teknologi Digital Nexus 2025 (DigitalNEXUS) anjuran UNIMAS dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap kementerian, Syed Mohamad Fauzi Shahab.
Julaihi turut menegaskan bahawa kewujudan platform ini menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat tanpa tunai yang lebih inklusif dan moden di Sarawak.
“Dalam usaha memperkukuh keupayaan digital negeri, kerajaan juga melangkah lebih jauh dengan memperkenalkan Rangka Kerja Tadbir Urus dan Pengurusan Data, yang sedang dibangunkan oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sejak tahun lalu.
“Laporan akhir rangka kerja itu mencadangkan beberapa perubahan penting termasuk pembentukan struktur tadbir urus baharu, pendekatan strategik dalam pelaksanaan, dan penyesuaian semula aspek perundangan berkaitan pengurusan data besar,” katanya.
