KUCHING: Langkah Sarawak mengambil alih Empangan Bakun daripada Kerajaan Persekutuan memberikan kuasa penuh kepada negeri ini untuk menguruskan tenaga, sekali gus menyumbang kepada pengeluaran tenaga bersih serantau.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kejayaan ini memberi laluan kepada Sarawak untuk terlibat secara langsung dalam perancangan Grid ASEAN .
“Saya amat yakin Sarawak akan menjadi pemain utama dalam ekonomi baharu bukan sahaja kita ‘jaguh’ dalam Malaysia, kita ingin menjadi ‘jaguh’ sekurang-kurangnya dalan rantau ASEAN,” ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Aluan Mesyuarat Agung Triennial Sarawak Dayak National Union (SDNU), di sini, malam tadi.
Katanya, Sarawak juga kini di barisan hadapan dalam pengeluaran tenaga bersih khususnya dalam pengeluaran tenaga hidrogen hingga diiktiraf oleh negara maju lain.
“Kita berada di barisan hadapan mengeluarkan tenaga ini dan Sarawak antara negara-negara maju yang lain sehingga kita diiktiraf oleh Kerajaan Jepun kerana mereka juga mengiktiraf Sarawak sebagai peneraju tenaga baharu di dunia,” ujar beliau.
Beliau berkata, kemakmuran yang dikecapi Sarawak pada hari ini adalah hasil yang dibentuk sejak dulu lagi, menggunakan ‘acuan’ yang sama tanpa mengira latar belakang rakyatnya.
Katanya, konsep ‘fusion’ yang menggabungkan kesemua rakyat berbilang kaum dan agama termasuk dalam kalangan pemimpin membolehkan kerajaan merangka masa depan Sarawak ke arah kemajuan yang dikecapi hari ini.
“Jadi kita di Sarawak ini telah mengamalkan perkara ini, di mana semua rakyat Sarawak, tanpa mengira latar belakang, status atau agama, bersatu sebagai seorang Sarawakian untuk melindungi Sarawak dan memajukan Sarawak tidak kira apa pun,” katanya.
Turut hadir, Presiden SDNU merangkap Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, Timbalan Presiden SDNU merangkap Pengerusi Pengelola majlis Ir Cristopher Gira Sambang, Naib Presiden Kanan SDNU Leftenan Jeneral (R) Datuk Stephan Mundaw, Pengerusi Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Dato Alice Jawan. – UKAS
