Sarawak ikrar rampas semula kejuaraan Para SUKMA

LABUAN: Kontinjen Sarawak berikrar akan merampas semula kejuaraan Para Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 2024 pada September depan.

Selepas dikecewakan oleh Sabah pada edisi 2022, Sarawak mahu memberikan fokus sepenuhnya untuk menjulang semula kejuaran tersebut buat kali ke-14 di tempat sendiri.

Bagi memastikan misi itu terlakar, Ketua Kontinjen Sarawak merangkap Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohamad Razi Sitam berkata, Kontinjen Sarawak berusaha memenangi sasaran 83 pingat emas.

Katanya, edisi kali ini adalah peluang terbaik untuk melakukannya kerana Sarawak akan menjadi tuan rumah.

“Semua atlet kita perlu mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi, menjaga kesihatan untuk kita mencapai sasaran 83 pingat emas.

“Yang penting kita hendak merampas semula kejuaraan yang kita genggam sebanyak 13 kali berturut-turut,” katanya ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) semasa mengetuai delegasi kontinjen Sarawak menjemput kontinjen Wilayah Persekutuan Labuan untuk menyertai Para SUKMA XXI di Tiara Labuan Hotel hari ini.

Katanya, kontinjen Para Sarawak meletakkan harapan tinggi dalam acara olahraga, renang dan tenpin boling untuk menyumbang banyak pingat emas kali ini sambil turut menyasarkan sukan lain untuk turut merangkul pingat.

Menyentuh persiapan atlet, beliau berkata, semua atlet Sarawak akan melakukan latihan berpusat bermula 1 Ogos nanti di Kuching.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Semawi Mohamad serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan W.P. Labuan Mahanum Fauzi.

Temasya Para SUKMA XXI akan mempertandingkan sebanyak 10 jenis sukan yang akan dilangsungkan di Bahagian Kuching sahaja.

Ia akan melibatkan kira-kira 2,470 atlet mewakili 15 kontinjen yang bersaing dalam 334 acara sukan.