KUCHING: Komitmen pegawai Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan amat penting dalam memastikan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkukuh sektor pertanian direalisasikan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Sarawak menyasarkan untuk menjadi pengeksport bersih produk makanan menjelang 2030 di samping meningkatkan pendapatan golongan petani kepada sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan.
“Usaha tersebut selaras aspirasi pembangunan negeri di bawah agenda Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan kepada pengukuhan ekonomi, keterjaminan makanan serta peningkatan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Bubur Ramadan BAKIS di Bazar Ramadan Kubah Ria di sini hari ini.
Selain pembangunan sektor ekonomi, Kerajaan Sarawak ujarnya terus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan kelahiran, sokongan kesihatan serta bantuan keperluan asas kepada golongan memerlukan.
Katanya, inisiatif seperti Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang diperkenalkan kerajaan negeri turut membantu meringankan beban rakyat dengan penyaluran bantuan secara berperingkat kepada isi rumah, warga emas dan golongan bujang.
Mengenai program itu, beliau berkata inisiatif anjuran Badan Kebajikan Islam (BAKIS) Jabatan Pertanian Sarawak memperkukuh semangat kebersamaan dan kebajikan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, sebanyak 600 bungkus bubur iaitu bubur kacang hitam dan bubur durian diagihkan kepada pengunjung serta peniaga di Bazar Ramadan Kubah Ria.
