Premier Sarawak imarahkan Majlis Khatam Al-Quran, Iftar Perdana Bersama Agensi Islam

KUCHING: Majlis Khatam Al-Quran dan Iftar Perdana Bersama Agensi Islam menambah lagi keberkatan bulan mulia Ramadan yang memasuki hari ke-22.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hadir mengimarahkan majlis tersebut yang diadakan di Dewan Kompleks Islam Sarawak, di sini, malam ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Khatam Al-Quran yang dimulakan oleh Premier Sarawak dengan ayat Ad-Dhuha sebelum bacaan takhtim Al-Quran.

Ia diteruskan dengan berbuka puasa dan menunaikan Solat Fardhu Maghrib sebelum jamuan makan malam dimulakan.

Usai jamuan, Premier Sarawak dan anakandanya, Dayang Norjihan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 50 orang asnaf dan mualaf dari bahagian Kuching dan Samarahan.

Hadir sama, Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Ibrahim Baki, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali serta dif kenamaan lain.