PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MoTS) dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) menzahirkan penghargaan atas sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan terutama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof dalam meningkatkan usaha menangani banjir dan menambahbaik pengurusan sungai.
Fadillah mengakui tentang keperluan segera kerja membaik pulih Baraj Sungai Sarawak bagi menangani kedaifan keadaan strukturnya dan kumbahan pada hilir dan hulu dasar sungai struktur berkenaan.
Kerja membaik pulih itu penting untuk menjamin keberkesanan baraj terbabit dalam menyokong tebatan banjir di Kuching dalam kawasan sekitarnya, kata Fadillah melalui satu kenyataan daripada MoTS di sini, semalam.
Menteri MoTS, Dato Sri Lee Kim Shin mengetuai delegasi MoTS dan LLS mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof di sini.
Pada kunjungan itu, Lee Kim Shin menyampaikan taklimat berkaitan beberapa cadangan tebatan banjir dan inisiatif pengurusan sungai di Sarawak termasuk perkara berkaitan penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur sungai yang kritikal.
Fadillah turut menekankan tentang pentingnya meningkatkan sistem pemantauan banjir dan menggalakkan kerjasama erat antara Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Malaysia dengan DID Sarawak berkaitan cadangan menaik taraf stesen telemetry di baraj Sungai Sarawak.
Usaha itu akan menambahbaik keupayaan pemantauan dan meningkatkan operasi pengurusan banjir di sepanjang lembah Sungai Sarawak.
Selain itu, Fadillah juga bersetuju pada dasarnya berkaitan cadangan perolehan bot pengutip sampah untuk Sungai Sarawak dan Sungai Miri yang dibiayai melalui pejabatnya.
Bot terbabit akan menyokong operasi pembersihan sungai terutama dalam mengutip sampah bagi membersihkan sungai dan kelestarian pengurusan sungai.
Pada majlis itu, Lee Kim Shin turut mengetengahkan masalah kumbahan yang menjejaskan nelayan tempatan di Kampung Batu satu, Miri, susulan siapnya pembinaan struktur pemecah ombak sebagai sebahagian daripada projek kawalan hakisan pantai di kawasan berkenaan.
Lee Kim Shin memohon peruntukan tambahan bagi menangani isu berkenaan dan Fadillah bersetuju dengan cadangan itu.
Lee Kim Shin berkata, isu itu menjejas kehidupan nelayan tempatan dan memerlukan intervensi segera untuk memastikan kelestarian aktiviti perikanan di kawasan terbabit.
“Kami menghargai sokongan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri dalam menangani masalah itu. Cadangan penyelesaian itu akan membantu nelayan terbabit dan menambah baik persekitaran pantai Kampung Batu Satu,” katanya dalam kenyataan terbabit.
Hadir sama Ketua Setiausaha PETRA, Dato Sri Mad Zaidi Mohd. Karli, Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Dato Mohd. Rodzwan Mohd. Baba Sakri dan Ketua Pengarah DID Malaysia, Datuk Ir. Mohd. Radzi Abdul Talib.
Delegasi dari Sarawak terdiri daripada Timbalan Menteri MoTS (Sungai dan Marin), Datuk Henry Harry Jinep, Pengerusi LLS, Dr. Safiee Ahmad, Setiausaha Tetap MoTS, Datu Wong Hee Sieng, Pengarah DID Sarawak, Datu Ir. Ahmad Danney Ahmad Fauzi, Ahli Lembaga LLS, Joseph Chieng Jin Ek, Kontroler LLS, Lt. Col. Ding Tiew Wong dan Ketua Bahagian Pengangkutan Sungai dan Marin MoTS, Constantine Gerald David Jonas.
