Sarawak tingkat dagangan dengan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN: Sarawak akan terus menjalin kerjasama dagangan dengan Brunei bagi meningkatkan nilai perdagangan antara kedua-dua wilayah, kata Timbalan Premier Sarawak.

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Brunei (STATOB) di sini merupakan satu daripada usaha untuk meningkatkan lagi nilai perdagangan itu.

“Sarawak akan turut mempergiatkan usaha untuk memudahkan perdagangan antara Brunei terutamanya melalui ekspo perdagangan,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala Sempena Pembukaan STATOB di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi dan Diaspora Sarawak di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei.

Awang Tengah berkata, nilai perdagangan antara Sarawak dan Brunei Darussalam pada 2023 adalah sebanyak RM3.76 bilion iaitu meningkat 23.8 peratus (RM3.04 bilion) berbanding 2022.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Industri menegaskan, Kerajaan Sarawak sedang membangunkan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH) yang akan disepadukan dengan rangkaian jalan raya Brunei Darussalam.

Pembangunan infrastruktur lebuh raya itu sekali gus memudahkan lagi perdagangan dan pelaburan antara Brunei dan Sarawak, katanya.

“Kerajaan Sarawak juga akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang telekomunikasi untuk menyediakan ketersambungan di pintu masuk sempadan,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap, Kuasa Usaha Sementara, Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Nur Ezira Mahadi berkata, pada 2023, Brunei merupakan rakan dagangan global ke-30 terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala hampir mencecah RM10 bilion.

Tambahnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan mengalu-alukan pembukaan STATOB yang secara langsung meningkatkan lagi kerjasama ekonomi antara Brunei dan Sarawak.