SELANGAU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan akan menjemput pakar pertanian bagi mengkaji kesesuaian DNA kopi dengan keadaan cuaca di negeri ini.
Beliau berkata, salah satu daripada kawasan kemungkinan sesuai untuk dibangunkan ladang kopi di negeri ini ialah Selangau.
Selangau yang memiliki kawasan tanah luas dan subur boleh menjadi pusat pengeluaran kopi selain kelapa sawit untuk meningkatkan taraf hidup petani, katanya pada sidang media selepas merasmikan Selangau Waterfront dan bangunan Pejabat Daerah Selangau di sini.
Menurut Premier Sarawak, kajian tersebut boleh dilakukan dengan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi nengkaji kesesuain penanaman kopi serta tanaman lain di sini.
“Hingga ke tahap apa jenis kopi yang hendak kita hasilkan melalui (teknologi) AI, hasil maklumat dari data asas dan data tersebut akan memberi kita infomasi tambahan merangkumi jenis kopi dan cara memproseskannya,” tegas beliau.
Sarawak Multimedia Authority (SMA), katanya, boleh membantu petani setempat mengenai teknologi yang diperlukan.
Beliau menegaskan, dengan menceburi industri kopi dan kelapa sawit serta sektor pertanian lain yang dipasarkan, Selangau akan menjadi pusat pertemuan pembeli dan pembekal hasil tani di kawasan itu.
Justeru, Abang Johari meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji membina jalan keluar dari Lebuh raya Pan Borneo (LPB) untuk memasuki pekan Selangau.
Mengenai Selangau Riverfront, beiau berkata, ia akan menjadi tarikan baharu di pekan itu dan boleh dijadikan pusat penganjuran aktiviti keramaian seperti sambutan Krismas.
“Saya bayangkan kalau Selangau sudah ada kopi jenamanya sendiri, orang ramai akan datang ke sini untuk menikmati kopi,” katanya
Hadir sama Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang.
