Ucapan Krismas pada kek tidak harus dijadi isu, ganggu gugat keharmonian kaum

KUCHING: Setiausaha Politik Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman menyifatkan isu larangan ucapan Krismas pada kek tidak seharusnya timbul susulan ia boleh mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat.

Menyokong pendirian Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung isu itu, Fazzrudin turut menempelak pihak yang melarang ucapan Krismas pada kek dan mengingatkan bahawa isu ini bukanlah meremehkan undang-undang atau punca kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Tetapi wujudnya isu sebegini menunjukkan betapa rapuhnya keharmonian sedia ada dan impak kepada kebanyakan masyarakat majmuk yang merasakan timbulnya isu ini adalah sudah keterlaluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ADUN Tupong menambah, Kerajaan Persekutuan dan agensi-agensi kerajaan harus sentiasa menambahbaik dalam menggubal dasar dan membuat keputusan yang memberi kesan kepada rakyat.

Katanya, ia disebabkan keputusan yang mendatangkan kontroversi boleh menganggu-gugat keharmonian dalam masyarakat serta mengundang kritikan kepada Kerajaan Persekutuan.

“Ini bukan isu kenegerian atau wilayah yang bersifat politik tetapi telah menjadi isu tunjang perpaduan dan keharmonian dalam negara,” katanya.

Kerajaan Persekutuan yang mengawal agensi-agensi yang bertanggungjawab peka kepada sensitiviti masyarakat dan kaum-kaum pelbagai di Malaysia dan menambahbaik pendekatan mereka supaya keharmonian dalam negara dapat terus dipelihara.

“Sarawak di bawah kepimpinan Premier banyak menempah kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Ini adalah bukti kebijaksanaan kepimpinan Premier dan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam mentadbir Sarawak bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi malah dalam integrasi sosial, katanya.

“Kejayaan Sarawak juga menyumbang kepada kejayaan Malaysia,” katanya.

Pada 14 Disember lalu, tular di media sosial berkenaan isu larangan ucapan ‘Merry Christmas’ pada kek berikutan memorandum daripada sebuah syarikat bakeri.

Menurut Pengurus Operasinya, premis terbabit hanya mengikut dan mematuhi keperluan pensijilan halal oleh Jakim.

Sementara pada 19 Disember, JAKIM turut mengeluarkan kenyataan di Facebook mengatakan tiada halangan bagi kedai bakeri yang disahkan halal menulis sebarang ucapan perayaan pada kek atau produk mereka.