KUCHING: Sarawak akan mengguna pakai perkhidmatan guru kontrak (CoS) bagi menangani masalah kekurangan tenaga pengajar di negeri ini.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Dr Annuar Rapaee sambil berkata, pendekatan itu akan meningkatkan jumlah guru di Sarawak.
Katanya, CoS merupakan kaedah tambahan kepada pengambilan biasa guru daripada graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan graduan pendidikan dari universiti tempatan menyaksikan guru yang dilantik akan ditempatkan di pelbagai sekolah.
“Guru yang diambil bekerja menerusi CoS akan dikehendaki mengambil Diploma Pendidikan, satu prasyarat untuk menjadi guru yang berkelayakan.
“Kementerian saya akan terlibat secara aktif dalam mempromosikan latihan itu dalam kalangan calon berpotensi dari kawasan masing-masing,” katanya semasa menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (GPS-Kota Sentosa), Wilfred Yap pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 hari ini.
Dr Annuar berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (MoE) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) komited menangani masalah kekurangan guru di Sarawak menjelang separuh kedua 2024.
Menurutnya, perkara itu hasil mesyuarat MEITD bersama MoE dan SPP yang diadakan di Kuching baru-baru ini.
Katanya, kemajuan dalam rundingan berkenaan ialah kelulusan projek yang dibiayai oleh kerajaan negeri diwakilkan kepada Pengarah Pendidikan Sarawak.
Bagaimanapun, MEITD sedang menunggu perwakilan kuasa untuk berkuat kuasa.
Berdasarkan angka dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri sehingga 31 September lalu, Sarawak memerlukan seramai 3,076 guru bagi mengisi kekosongan di sekolah menengah dan rendah seluruh negeri.
Daripada jumlah tersebut, seramai 819 guru diperlukan di sekolah menengah manakala 2,257 lagi untuk sekolah rendah.
Dalam hal ini, Dr Annuar menegaskan autonomi pendidikan harus dikembalikan kepada Sarawak kerana ia terkandung di dalam 18 perkara Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ia jelas disebut di dalam perenggan ke-14 MA63 iaitu soal kesihatan dan sistem pendidikan yang sedia ada perlu dikekalkan dan harus dikawal oleh Sarawak.
“Ia sudah lama terhakis dan masanya sudah tiba untuk kita mendapatkannya semula bagi memudahkan kita menguruskan pendidikan di Sarawak,” jelasnya.
