KUCHING: Kerajaan negeri perlu memikirkan cara mengekang aktiviti vandalisme kemudahan bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang semakin berleluasa sekarang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-Kalaka, Mohamad Duri berkata, antaranya kecurian kabel tembaga dan aluminium dan bateri di menara telekomunikasi dan transformer elektrik.
“Isu vandalisme ini semakin kerap berlaku sehingga mengakibatkan gangguan kepada perkhidmatan utiliti dan telekomunikasi,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Jelas Mohamad Duri, pada 2022 sahaja sebanyak 515 kes vandalisme alatan utiliti dengan kerugian sebanyak RM4 juta dilaporkan Sarawak Energy Berhad, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu serta syarikat telekomunikasi seperti SDEC, TM, Sacofa, CelcomDigi, Maxis, Umobile, Redtone.
“Saya percaya isu ini boleh kita kaitkan dengan kedai menjual besi buruk. Jika tiada permintaan daripada penjual besi buruk, pencuri tidak akan mencuri tembaga dan aluminium,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Ops Lusuh kerap diadakan dan perlu dikaji semula undang-undang terbabit untuk tidak membenarkan orang awam menjual barangan aluminium, tembaga dan peralatan bekalan utiliti lain.
