Lebih RM59 juta subsidi tambang bas RM1, jumlah penumpang meningkat

KUCHING: Kos keseluruhan subsidi bas henti-henti tambang RM1 dari Mei 2020 hingga September 2023 berjumlah lebih RM59 juta dan dimanfaatkan oleh golongan B40.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil berkata, program perhidmatan bas henti-henti tambang RM1 merupakan subsidi Kerajaan Sarawak yang telah dilaksanakan di Bahagian Kuching, sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri sejak Mei 2020.

Pada 2020, lebih RM5 juta telah dibelanjakan bagi program itu kerana pelaksanakaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPK) akibat pandemic Covid-19, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS-Kabong, Mohd. Chee Kadir, beliau berkata, jumlah subsidi yang dibayar pada 2021 adalah lebih RM12 juta dan meningkat kepada lebih RM21 juta pada 2022.

Beliau menegaskan, manakala pada tahun ini sehinggga September 2023, lebih RM20 juta telah dibelanjakan bagi program itu.

Jumlah pergerakan penumpang juga meningkat daripada lebih 2.5 juta orang pada 2021 kepada 3.54 juta setakat ini, katanya.