KUCHING: Temasya Sukan Borneo kembali dianjurkan selepas sekian lama menyepi, dengan Sarawak menjadi tuan rumah edisi 2025 bermula 24 hingga 28 September ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran kali ini memberi tumpuan kepada memperkukuh hubungan persaudaraan dan kerjasama antara negeri, negara serta provinsi di rantau Borneo.
“Ini bukan sekadar pertandingan sukan, tetapi wadah untuk mempererat silaturahim. Kita mahu mengekalkan semangat asal Sukan Borneo yang sejak dulu menjadi jambatan persahabatan merentasi sempadan,” katanya ketika kepada media di Bangunan Baitulmalmur II, hari ini.
Menurut beliau, walaupun terdapat dua negeri dari Semenanjung memohon untuk menyertai temasya tersebut, penganjur memutuskan penyertaan hanya dibuka kepada entiti di pulau Borneo bagi mengekalkan identiti asalnya.
Abdul Karim menjelaskan, mesyuarat terakhir bersama semua kontinjen mengesahkan penglibatan Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei Darussalam serta dua provinsi dari Kalimantan, Indonesia tanpa sebarang masalah.
Temasya lima hari itu bakal mempertandingkan tujuh acara iaitu badminton, bola padang, olahraga, memanah, renang, tarik tali dan menyumpit, selain acara jemputan khas golf yang dijangka menambah warna pada edisi kali ini.
