Tiga langkah utama bantu Sarawak muncul sebagai peneraju ASEAN

KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai peneraju ASEAN dalam bidang tenaga mampan sekiranya prinsip ekonomi kitaran dapat diamalkan secara menyeluruh merentas sektor.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, komitmen itu hanya dapat dicapai melalui tiga langkah utama iaitu berpegang kepada prinsip ekonomi kitaran, bekerjasama dalam perkongsian teknologi merentas sempadan, serta menjadi pendukung yang menggerakkan orang lain untuk bertindak.

“Ekonomi kitaran bukan sekadar soal mesin atau teknologi, sebaliknya cara kita berfikir dan melihat sisa sebagai peluang untuk mencipta sesuatu yang baharu. Seperti ditegaskan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg – jangan sia-siakan sisa,” katanya ketika berucap pada Forum Kelestarian & Tenaga Boleh Diperbaharui (SAREF 4.0) di sini, hari ini.

Menurut beliau, jika mesej itu benar-benar diamalkan, Sarawak dan ASEAN mampu menjadi contoh global dalam bidang tenaga mampan, sekali gus membawa manfaat ekonomi serta kelestarian alam sekitar.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan CSP oleh Pengarah Hutan, Datuk Hamden Mohammad kepada Pengerusi Kelestarian Lembaga Sarawak Energy, Datuk Seri JC Fong.

Turut berlangsung ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy dan Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), yang ditandatangani oleh Pengarah Global Air dan Tanah Lembap IUCN, James Dalton dan Naib Presiden Kanan HSSE Sarawak Energy, Marconi Madai.