Industri burung walit mampu lonjakkan ekonomi komuniti luar bandar

KUCHING: Industri burung walit di Bahagian Sri Aman diberi perhatian khusus melalui sesi libat urus yang diadakan di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, di sini, semalam.

Sesi itu dipengerusikan bersama oleh Pengerusi Agensi Pembangunan Bahagian Sri Aman (SADA) Dato Sri Rohani Abdul Karim dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Datu Dr. Adrian Susin Ambud.

Rohani berkata, sesi libat urus ini penting untuk menyelaraskan kefahaman semua pihak berkaitan undang-undang dan garis panduan industri, sekali gus membantu penternak mengurus operasi mereka dengan lebih teratur.

“Industri burung walit mempunyai nilai ekonomi tinggi serta berpotensi memberi manfaat besar kepada komuniti luar bandar. Namun, ia perlu diurus secara mampan agar tidak menimbulkan masalah kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Antara isu utama yang dibincangkan ialah pelesenan pembinaan rumah burung walit, aktiviti penternakan, pengutipan dan penjualan sarang walit yang dibentangkan oleh Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) pula menjelaskan peraturan di bawah Perintah Sumber Asli dan Alam Sekitar (Aktiviti yang Ditetapkan), 1994.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak turut membentangkan pengenalan ID rumah burung walit bagi tujuan kawalan dan pemantauan, manakala Jabatan Tanah dan Survei menjelaskan prosedur permohonan lesen untuk membina atau menyelenggara struktur penternakan walit.